MASAKAN JALAN-JALAN ADLI HANYA KENANGAN PERKAHWINAN VIDEO ADLI

Iklan jap

Followers

Google+ Followers

Jumaat, 30 April 2010

BAJU ACHIK PENGUBAT RINDU

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/04/30

Isteri arwah vokalis kumpulan Spin, Tasha berhasrat kembali bekerja



KERINDUANNYA kepada suami, Abdillah Murad Md Shari atau Achik, semakin kuat dirasa. Apatah lagi apabila si anak bongsu, Puteri Nur Sumayya, 11 bulan, sudah pandai mencari di mana si ayah. Anak kecil yang memiliki wajah iras bapanya itu ada ketika memanggil ‘ayah’, apabila kelibat Achik tidak lagi ada di depan mata.

Sementara si kakak, Puteri Nur Safiyya, 2 tahun 4 bulan, pula yang sememangnya sering bertanya di mana bapa mereka berada, tidak boleh berenggang dengan baju milik Achik yang kini menjadi pengubat rindunya.

Ketika pertemuan dengan balu Achik, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha berlaku di kompleks Filem Negara, Petaling Jaya, 27 April lalu, baru 10 hari vokalis kumpulan Spin itu meninggal dunia, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban. Kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki Achik dan sepupunya, Salihin Md Salleh, dikatakan terbabas lalu melanggar papan tanda, sebelum musnah terbakar.

Tasha hadir untuk menerima sumbangan syarikat penerbit rancangan Dimensi Muzik, Betarecs Sdn Bhd (yang disampaikan menerusi Karyawan) dan syarikat rakaman yang menaungi suaminya, FMC.

Achik sepatutnya muncul dalam rakaman program bual bicara berbentuk hiburan itu pada hari terbabit, sebaliknya pihak produksi berasakan kemunculan itu sebaik-baiknya kini digantikan dengan acara penyampaian sumbangan buat keluarga Allahyarham.

Kata Tasha, dia cukup berasakan kerinduan terhadap suami tercinta, terutama apabila mengenangkan saat penyanyi itu meluangkan waktu bermain bersama anak-anak. Selain Nur Safiyya dan Nur Sumayya, pasangan berkenaan turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan, Puteri Rania. Bagaimanapun, anak sulung mereka meninggal dunia pada 2007 ketika usianya baru dua bulan.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana adanya anak-anak kami, yang sekurang-kurangnya mengurangkan sedikit rasa rindu ini kepadanya. Anak-anak jugalah yang kini memberikan kekuatan serta semangat kepada saya untuk meneruskan kehidupan.

"Kini, saya akan memberikan segala tumpuan dan kasih sayang dalam usaha membesarkan kedua-dua puteri kami. Apabila mereka sudah besar dan mengerti apa yang berlaku, barulah saya akan kembali bekerja," katanya yang kini tinggal bersebelahan dengan ibunya di kediaman yang disediakan Achik di Taman Desa Ros, Ampangan.

Mempunyai diploma dalam bidang pengurusan perniagaan dari Kolej Universiti Teknologi Pengurusan Malaysia di Shah Alam, Tasha bagaimanapun ingin mencuba bidang pentadbiran apabila bekerja nanti. Katanya, dia inginkan bidang kerja yang membolehkannya meluangkan masa bersama anak-anak.

"Ketika hayatnya ada, arwah tidak membenarkan saya bekerja. Katanya, selagi dirinya masih ada, biarlah dia yang menjaga makan minum kami anak beranak. Dia cuma mahu saya menjaga dan membesarkan puteri kami, kerana dirinya sendiri begitu sibuk dengan urusan kerja.

"Kerana kesibukan itu jugalah saya tidak mengesyaki apa-apa ketika dia cepat-cepat menyiapkan rumah kami di Ampangan. Dia seperti sudah tahu yang hayatnya tidak panjang," cerita Tasha.

Kata wanita ini lagi, bagai sudah ditentukan Tuhan, Achik selamat disemadikan bersebelahan dengan pusara Puteri Rania, di Makam Tuan Haji Said, Seremban.

Berhubungan perniagaan arwah suaminya, Tasha memberitahu, Achik pernah mengeluarkan amanah supaya supaya perniagaan teh herba perubatan diteruskan adiknya, Mohd Khalis. Produk itu sepatutnya dilancarkan pada Jun ini.

Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, sumbangan berjumlah RM1,500 yang disampaikan kepada Tasha hari itu ialah bayaran yang sepatutnya diterima Achik untuk muncul dalam program 13 episod itu, yang bakal ditayangkan menerusi RTM2, Jun atau Julai depan.

"Kami berasakan, wang terbabit amat bertepatan sekali disumbangkan kepada keluarganya, sebagai penghormatan kami terhadap jasa dan sumbangan Achik dalam industri hiburan tempatan. Kami sendiri amat terasa dengan pemergiannya, yang dirasakan terlalu awal untuk seorang artis berbakat sepertinya. Achik masih muda serta aktif dalam dunia muzik dan lakonan," katanya.

Pengarah Eksekutif FMC, C F Ho pula memberitahu, syarikatnya menghulurkan sumbangan berjumlah RM5,000 buat keluarga Achik, bagi membantu meringankan beban yang dipikul mereka.

Ketika yang sama, FMC bersiap sedia untuk mengeluarkan album kompilasi lagu nyanyian Achik bersama Spin, pada pertengahan Mei ini. Selain 14 lagu popular mereka, turut dimuatkan ialah lima lagu yang belum pernah diterbitkan sebelum ini, serta sebuah lagu baru dinyanyikan secara duet bersama Siti Nordiana, berjudul Cari Ketenangan. Lagu itu ialah rakaman terakhir Achik, yang dilakukan sekitar November tahun lalu di studio milik penciptanya, Ajai.

Lima lagu yang belum pernah diterbitkan itu pula ialah Rela, Sejuta Maaf, Dibuai Rindu-Rinduan, Seorang Kawan dan Kau Yang Ku Cinta. Rela ialah lagu ciptaan Saari Amri yang dirakam pada 1998, ketika penyanyi itu baru saja melangkah ke dunia hiburan.

"Kami memang merancang untuk menerbitkan album duet Achik dan Siti Nordiana pada tahun ini. Tetapi, nampaknya hanya sebuah lagu saja sempat mereka rakamkan," katanya.

Ho juga berkata, selepas pemergian Achik, permintaan terhadap albumnya kian bertambah, memaksa mereka mengeluarkan kembali album lamanya. Turut dicari peminat ialah VCD telefilem lakonan Achik seperti Demi, Wad 04 dan Prahara.

Bersama Spin, penyanyi itu sempat muncul bersama album Roda-Roda Rindu (2000), Spin 2 - Litar Asmara (2001), Demi (2002) dan Keranamu (2003). Bersama Siti Nordiana pula, dia menghasilkan album duet Istimewa Untukmu (2003) dan Benang Emas (2005).

*simpati dgn isteri arwah achik.semoga dia tabah meneruskan hidupnya disamping membesarkan anak anaknya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.