BERKULIT putih,  bermata hijau itulah rata-rata rupa paras anak-anak Syria, maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia yang tertarik untuk mengambil anak-anak Syria ini untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Selain mempunyai sifat empati terhadap anak-anak comel yatim piatu ini dek kerana peperangan yang melanda negara mereka menjadi faktor ‎ramai rakyat Malaysia ingin memiliki anak-anak ini untuk dibawa pulang ke Malaysia untuk dipelihara.

Namun, mungkin hasrat rakyat Malaysia itu terpaksa dilupakan kerana sepanjang temuramah Sinar Harian dengan ibu bapa pelarian Syria di Jordan serta pengalaman ‎rakyat Malaysia di Jordan hasrat tersebut sangat sukar direalisasikan.

Menurut Ketua Biro Kemanusiaan Haluan Siswa Jordan, ‎Muhammad Sheikh Zaki berkata, dia pernah beberapa kali diminta oleh rakyat Malaysia untuk mengambil beberapa orang anak Syria untuk dijadikan anak angkat namun pada saat akhir hasrat tersebut terpaksa dilupakan dek kerana beberapa kekangan.

"Ada orang kaya Malaysia yang minta saya tolong carikan anak angkat Syria di kem pelarian Syria di Jordan.

"Namun di saat akhir si empunya ‎permintaan (orang kaya) tersebut terpaksa membatalkan hajatnya," katanya kepada Sinar Harian.

Faktor kesukaran
‎Jelas Muhammad faktor rakyat Malaysia menarik diri adalah kerana kesukaran keluarga mereka untuk melepaskan anak-anak mereka di tangan orang luar.
"Dari segi undang-undang insya-ALLAH kita boleh selesaikan walaupun berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar, kerana kita kena melalui banyak proses.
"Yang kes rakyat Malaysia itu, apa yang membuatkan dia membatalkan hasrat adalah kerana jika dia mahu mengambil anak angkat itu dia perlu membawa sekali keluarga terdekat atau sebuah keluarga itu untuk dijaga di Malaysia.
"Dari satu segi saya melihat bahawa walaupun mereka susah namun kasih sayang antara mereka tidak boleh dipisahkan," katanya.
Sementara itu, Muhammad berkata,  keluarga Syria kini juga berhati-hati untuk memilih keluarga untuk mengambil anak angkat.
‎"Ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak pelarian ini, jadi kini mereka lebih berhati-hati," katanya lagi.

Kahwini gadis Syria
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana caranya untuk mengahwini gadis-gadis Syria, Muhammad berkata, keluarga Syria sangat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berhasrat mengakhiri gelaran bujang dengan gadis Syria.
"Mereka sangat mengalu-alukan," katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad dia menasihati agar mereka yang berhasrat memiliki gadis Syria agar bersikap jujur dan mempunyai kewangan kukuh.

"Apa yang keluarga mereka tanya adalah, adakah mereka mampu untuk menjaga anak mereka.

"Daripada segi duit hantaran dan sebagainya mereka boleh berbincang dengan keluarga tersebut," katanya.
Sinar Harian kini bers
ama  NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria  di Jordan yang mengambil  masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.
Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima,  Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil; Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi; dua orang doktor daripada NGO (HALUAN) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan, Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem bin Abdul Baki; Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan, Muhammad Shakir Sabarudin; Aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap Jurugambar Haluan, Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian, Muhammad Shamsul Abd Ghani.

sumber : SINAR HARIAN