Hari ini, genap setahun pemergian bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu bersama enam lagi mangsa lain yang turut terkorban dalam kejadian itu termasuk Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias.
Sebagai seorang yang pernah rapat dengan bekas Ahli Parlimen Rompin itu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, tiada lagi senda gurau dan hilai tawa seorang yang sentiasa menceriakan suasana ketika mereka duduk bersama di pejabat, sekalipun di masa lapang.
Menurut beliau, Allahyarham Jamaludin mempunyai cara dan gaya tersendiri terutama apabila mahu menarik perhatian orang lain ketika dalam keadaan serius, mahupun sewaktu sembang-sembang biasa.
“You, you listen, listen to me (awak, awak dengar, dengar saya bercakap). Allahyarham sering menggunakan ayat seperti ini ketika berhujah atau bertukar-tukar pendapat antara kawan-kawannya.
“Ungkapan ini yang sering saya ingat. Kehilangannya amat dirasakan sebagai seorang yang profesional atau seorang sahabat baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.55 petang itu, helikopter awam itu dilaporkan terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur dipercayai ketika hujan dan angin kencang.
Empat lagi mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin iaitu Koperal Razakan Seran.
Kesemua mereka menaiki helikopter dari Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.
Tengku Sariffuddin turut mengenali Azlin yang disifatkan sebagai seorang yang amat penyabar, kurang bercakap dan sering mendamaikan jika ada dua pihak yang bertelagah.
“Allahyarham Azlin selalu mendamaikan orang, kalau ada masalah dia menjadi ‘pusat rujukan’ dan mencari jalan untuk mendamaikan mereka. Allahyarham bukan seorang yang mudah marah, malah suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.
“Kehilangan mereka amat dirasakan. Terasa kekosongan ditinggalkan kedua-duanya. Namun kita perlu menerima segala ketentuan ini dan berdoa agar kedua-dua sahabat ini ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.
Pemergian dua tokoh itu turut meninggalkan kesan mendalam kepada pelakon terkenal, Hans Isaac yang juga bersahabat baik dengan mereka sebagai rakan yang mempunyai minat yang sama dalam sukan golf.
Sempena setahun pemergian Jamaludin dan Azlin, Hans memuat naik gambar di akaun Instagram miliknya, kenangan bersama mereka berempat termasuk Tengku Sariffuddin ketika bermain golf bersama.
“Genap setahun kehilangan dua sahabat kita. Miss them loads (sangat merindukan mereka) . #rip TS JJ & DS Azlin. Will never forget your friendship and all our golf games we had together. (Tidak boleh lupa persahabatan kita dan semua permainan golf yang kita bermain bersama. #Vietnam,” katanya.