Pawi Omar, 52, berkata, dia bimbang anaknya yang baru berusia 17 tahun terpaksa menempuh perjalanan jauh ke luar negara seorang diri tanpa ditemani sesiapa.
Menurutnya, ia menyebabkan dia dan isterinya sentiasa berada dalam kebimbangan terhadap keselamatan anak mereka.
Katanya, dalam usia semuda itu sudah tentu anaknya tidak biasa dengan perjalanan bersendirian di luar negara.
“Saya berharap ada pihak yang memberikan tajaan untuk perbelanjaan rakan anak saya yang akan mengiringi Khairul Idham, saya tidak sanggup melihat dia bersendirian lagi.
“Saya sudah ada calon untuk tugasan sebagai rakan untuk mengiringinya iaitu sahabat baiknya sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gajah, Pasir Salak semalam.
Selain itu, Pawi turut berharap ada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah sukar mendapatkan makanan halal yang dihadapi anaknya sewaktu berada di luar negara.
Katanya, Khairul Idham membawa beras dan mi segera untuk dimasak.
Menurutnya, jika keadaan itu berterusan ia boleh menjejaskan tumpuan dan prestasi anaknya sewaktu perlumbaan.
“Kedua-dua masalah ini merupakan keperluan semasa anak saya dan diharapkan ada pihak yang dapat memberikan tajaan,” katanya.